Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Jabatan Kerja Raya

MENTERI Pembangunan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid merasmikan pembukaan jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri dan di persimpangan Jalan Muara serta Jalan Penghubung Tanah Jambu.
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 2 Ogos. – Satu lagi projek pembinaan dua buah jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri dan di persimpangan Jalan Muara serta pembinaan Jalan Penghubung Tanah Jambu dan jalan susur daripada Perumahan Negara Kampung Panchor, Mengkubau ke Jalan Utama Mentiri yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya telah pun siap dilaksanakan dan mula dibuka kepada pengguna jalan raya hari ini.
Pembukaan jejambat dan jalan penghubung Tanah Jambu tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis iaitu Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Dua buah jejambat baru telah dibina, iaitu sepanjang 30 meter menyeberangi Jalan Muara dan 60 meter menyeberangi Jalan Utama Mentiri. Jalan baru empat lorong (dual carriageways) telah dibina sepanjang kira-kira 1.8 km yang menghubungi Jalan Utama Mentiri dan Jalan Muara. Sementara itu, sepanjang kira-kira 1.4 km jalan susur keluar telah dibina yang menghubungi Jalan Utama Mentiri dari Perumahan Negara Kampung Panchor, Mengkubau Mukim Mentiri.


YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan mendengar taklimat yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya.
Projek ini merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 yang mula dibina pada awal tahun 2019 dan siap sepenuhnya pada 7 Julai 2025, melalui penglibatan pemborong Pro Builder Sdn Bhd dengan menelan belanja lebih kurang BND 26 juta.
Projek pembinaan jejambat ini dilaksanakan bertujuan untuk menampung pertumbuhan jumlah lalulintas di samping meningkatkan tahap keselamatan para pengguna jalan raya serta memperkemaskan lagi sistem rangkaian jalan raya dengan lebih teratur.
Dengan terbinanya jejambat dan jalan ini, ia memberikan jalan alternatif kepada para pengguna jalan raya dan sedikit sebanyak akan mengurangkan masalah kesesakan di sebahagian kawasan di Jalan Utama Mentiri (terutama di waktu pagi) di mana sebahagian jumlah lalulintas yang datangnya dari arah Mentiri dijangka menggunakan jejambat dan jalan baru ini untuk menuju ke Jalan Muara, Lebuhraya Muara Tutong dan sekitarnya.
Disamping itu, jejambat-jejambat yang baharu ini dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi di kawasan sekitar. Infrastruktur ini bukan sahaja akan mempercepatkan dan memudahkan urusan pengangkutan logistik yang berkait rapat dengan ekonomi setempat, malah turut membuka lebih banyak akses ke tapak-tapak pembangunan ekonomi seperti kawasan perindustrian, komersial dan perusahan mikro, kecil dan sederhana.
Dengan pembukaan jejambat ini, pihak Jabatan Kerja Raya sukacita mengingatkan kepada orang ramai terutama sekali para pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati serta mengikut papan tanda yang telah disediakan dan mengikut had laju yang telah ditetapkan demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya yang lain.

SESI bergambar ramai semasa majlis perasmian berkenaan.
Turut hadir di majlis pembukaan tersebut ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Ketua-Ketua Jabatan dan Pegawai-Pegawai Kanan di Kementerian berkenaan serta wakil daripada Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya.